UFC 254: Khabib kekal juara lightweight UFC, umum untuk bersara



KHABIB Nurmagomedov berjaya kekalkan juaran lightweight UFC selepas menewaskan petarung Amerika Syarikat, Justin Gaethje awal pagi tadi.

Dalam acara utama UFC 254 di Abu Dhabi pada Ahad, bintang dari Rusia itu menumpaskan lawannya menerusi kuncian ‘triangle choke’ pada minit 1:34 pusingan kedua untuk teruskan kemenangannya yang ke 29 tanpa kalah.

Pusingan pertama menyaksikan ketangkasan Khabib begitu sukar untuk ditandingi oleh Gaethje.

Pada pusingan kedua, Khabib berjaya membuat ‘takedown’, merebahkan lawannya itu ke kanvas Octagon.

Ia disusuli dengan kuncian ‘triangle choke’ yang membuatkan Gaethje ‘tap out’ dan kemudian tidak sedarkan diri untuk seketika, sekali gus menghadiahkan kemenangan untuk Khabib.

Bagaimanapun, dalam temubual selepas perlawanan, Khabib yang teringatkan arwah bapanya Albdulmanap, dengan sedih memberitahu dia ingin bersara dari sukan MMA.

BACA: Bapa Khabib, Abdulmanap Nurmagomedov meninggal dunia

"Hari ini merupakan hari terakhir saya bertarung di UFC. tak mungkin saya ke sini tanpa ayah saya.

"Bila UFC memanggil saya (untuk bertarung) dengan Justin, saya telah berbincang dengan ibu saya selama tiga hari.

"Saya telah berjanji dengan ibu, ini pertarungan terakhir saya. Jika saya sudah berjanji, saya mesti tunaikan. Ini pertarungan terakhir saya," katanya.

Ini merupakan kali ketiga Khabib mempertahankan gelaran lightweight yang disandangnya.

Sebelum ini Khabib mempertahankan kejuaraan tersebut pada Oktober 2018 selepas menewaskan Conor McGregor dalam aksi UFC 229.

Dia kemudiannya menewaskan Dustin Poirier pada September tahun lalu pada acara UFC 242 pula.


Comments